Selamat datang ke blog Peribahasa Kita, semoga anda mendapat sesuatu di sini. Terima kasih.

Bidalan


Definisi Bidalan
Bidalan ialah kata-kata yang sering disebut dan mempunyai nasihat serta pengajaran di dalamnya (Kamus Dewan). Bidalan juga merupakan sejenis peribahasa yang memaparkan unsur nasihat, pedoman, atau pengajaran kepada masyarakat  dalam bentuk ungkapan yang ringkas. Bidalan juga membawa maksud yang tidak sama dengan maksud perkataan yang digunakan. Bidalan mempunyai maksudnya yang tersirat  di sebalik susunan kata-kata yang membentuknya. Bidalan tidak mengandungi  sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan.

Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak.
Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan yang tetap.
Selepas tamat persekolahan , Yusri membantu ayahnya berkebun sayur sebelum dia memperoleh jawatan yang dipohonnya. Bagi Yusri, baik berjagung-jagung sementara padi belum masak.

Belum duduk sudah berlunjur.
Belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira.
"Kamu belum mendapat basikal yang dijanjikan oleh ayat kamu sebagai hadiah hari lahir, jadi janganlah  belum duduk sudah berlunjur", kata Ramli kepada kawannya.

Berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar.
Hendaklah berhati-hati apabila memperkatakan sesuatu.
Pak Bakar dan Mak Lijah  berbisik-bisik apabila bercerita tentang perilaku anak jirannya kerana mereka sedar bahawa berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar.

Daripada cempedak baiklah nangka
Lebih baik ada daripada tiada langsung.
Puan Sim sedang membeli sayur yang sudah hampir layu itu kerana baginya daripada cempedak baiklah nangka.

Genggam bara api biar sampai jadi arang.
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan yang susah, kita hendaklah bersabar dan menyempurnakan pekerjaan itu sehingga berjaya.
Penduduk kampung itu mengalami pelbagai kesulitan untuk meneruskan pembinaan jambatan itu tetapi  mereka tidak pernah putus asa kerana bagi mereka genggam bara api biar sampai jadi arang.

Indah khabar dari rupa
Cerita tentang sesuatu perkara biasa yang dilebih-lebihkan dan tidak menyamai keadaan sbenarnya.
Keadaan di negara itu sebenarnya indah khabar dari rupa. Apabila kamu tiba di sana tahulah kamu keadaan yang sebenarnya.

Sudah terhantuk baru tengadah
Sesudah ditimpa sesuatu masalah baru hendak beringat-ingat.
"Sudah beberapa kali kami nasihati agar berhati-hati melakukan kerja itu. Kini tidaklah perlu kau sesali apabila sudah terhantuk baru tengadah," katanya kepada pemuda itu.

Ukur baju di badan sendiri
Membuat sesuatu mestilah mengikut kemampuan diri.
"Kami tidak menghalang kamu menyertai maraton itu, tetapi ukur baju di badan sendri", kata beliau.


4 comments: