Selamat datang ke blog Peribahasa Kita, semoga anda mendapat sesuatu di sini. Terima kasih.

Pengenalan

Pengenalan Peribahasa

Peribahasa merupakan ayat atau sekumpulan kata yang tersusun dan mengandungi makna atau pengertian yang tertentu. Susunan katanya pendek tetapi menepati makna yang ingin disampaikan. Susunan kata yang sedap didengar, bijak serta tepat pengertiannya ini telah menjadi pengucapan orang ramai sejak turun-temurun. Peribahasa terdiri daripada pepatah, bidalan, perbilangan, perumpamaan, dan simpulan bahasa. Kini kata-kata hikmat pujangga dan ilmuan yang telah lama digunakan dalam masyarakat turut dianggap sebagai peribahasa.
Mereka yang mahir menggunakan peribahasa dianggap telah menguasai kemahiran berbahasa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu. Mereka juga boleh dianggap sebagai pencinta bahasa tersebut. Sebagai satu daripada variasi dalam bahasa, peribahasa telah membantu dalam perkembangan sastera dan bahasa Melayu sehingga boleh dianggap setanding dengan bahasa utama dunia yang lain.
Sifat orang Melayu yang lemah lembut dan penuh santun menyebabkan mereka sering meluahkan rasa hati melalui kata-kata simbolik, indah, dan tersusun. Misalnya, untuk menyatakan kekuasaan penguasa yang tidak bertepi terhadap rakyat, tidak dinyatakan terus terang tetapi disebut dengan langit menyungkup kepala atau mendebik mata pedang. Manusia yang buruk tingkahnya dilambang dengan haiwan-haiwan yang seperti beruk atau kera, umpamanya seperti beruk kena belacan; kera menegur tahinya; atau beruk jumpa pisang masak setandan. Oleh sebab Melayu dan Islam merupakan sinonim, pegangan dalam agama Islam turut digambarkan secara meluas dalam peribahasa Melayu. Misalnya anjing dan babi yang haram di sisi Islam itu melambangkan orang tamak, jahat, dan penuh dengan kehinaan. Contohnya melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas, ia menggigit atau anjing mengulangi bangkai; bagai babi merasai gulai, dan seumpamanya. 
Peribahasa terbit daripada pemerhatian dan pengalaman hidup rakyat jelata dan para cendekiawan. Dalam masyarakat petani lahir peribahasa tidak serik dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua. Di kalangan nelayan pula ada peribahasa lautan mana yang tidak bergelombang; ikan di laut asam di darat; dan kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Cendekiawan yang terlibat menyebarkan ilmu  akan sentiasa memberi tunjuk ajar dan kata-katanya menjadi ikutan, umpamanya jangan ditentang matahari; buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali,dan syak fasik yakin  salih, batu jadi juadah.  
Al-Quran dan hadis turut memberi sumbangan kepada peribahasa Melayu, contohnya ilmu yang tidak diamal ibarat pokok tidak berbuah dan ilmu tanpa agama, buta. Pemerhatian yang amat teliti dapat dilihat pada ketetapan makna peribahasanya, misalnya keluh kesah tidur di kasur; berkeruh di lapik penjemuran; atau batu yang bergolek tidak ditumbuhi lumut; berapa panjang lunjur, begitulah panjang selimut.
Kemajuan mendadak yang melanda masyarakat kita hari ini sedikit sebanyak telah mengurangkan minat masyarakat terhadap penggunaan peribahasa. Hanya segelintir di kalangan generasi muda hari ini tahu akan kegunaan sesuatu peribahasa malah ada yang tidak tahu langsung tentang kewujudan peribahasa tersebut. Lebih menyedihkan ada sesetengah pihak cuba mengubah bunyi dan makna peribahasa, kononnya untuk menyesuaikan dengan zaman, misalnya biar lambat asal selamat dijadikan biar cepat asal selamat, hutang budi dibawa mati ditukar kepada hutangn budi tergadai body dan banyak lagi. Sebenarnya pengubahsuaian itu telah merosakkan makna dan matlamat sebenar sesuatu peribahasa dan menghilangkan keindahan serta kebijaksanaan peribahasa tersebut. tidak salah kalau mahu mencipta kata-kata hikmat tetapi biarlah yang betul-betul baru, bukan diubah suai daripada yang sedia ada. 
-SAPINAH HAJI SAID-
Kamus Peribahasa Melayu

No comments:

Post a Comment