Selamat datang ke blog Peribahasa Kita, semoga anda mendapat sesuatu di sini. Terima kasih.

Karangan Peribahasa




Bagai Si Buta Kehilangan Tongkat

Aminah dipelihara oleh neneknya kerana orang tuanya meninggal dunia sejak dia masih kecil. Walaupun neneknya sudah tua tetapi dia bersemangat tinggi. 

Nenek Aminah tahu Aminah cucunya itu hendak belajar di sekolah. Dia tidak mahu menghampakan harapan cucunya yang seorang itu sahaja. Nenek itu bersusah payah menyekolahkan Aminah di sekolah rendah dan kemudian ke sekolah menengah.

Aminah pula tidak mensia-siakan  segala penat lelah dan pengorbanan neneknya. Aminah belajar bersungguh-sungguh  dan rajin  pula menolong neneknya apabila ada kelapangan. Gembira hati nenek melihat Aminah berkeadaan demikian.

Tetapi malang tidak berbau. Apabila Aminah sudah berada dalam tingkatan tiga, nenek yang disayangi itu meninggal dunia kerana sakit tua. Tinggallah Aminah sekarang seorang diri. Hidupnya sebatang kara, terawang-awang tanpa dahan tempat berpaut. Dirinya tidak ubah "bagai si buta kehilangan tongkat."  

Namun begitu, Aminah berserah segala-galanya kepada Allah subhanahuwataala. Dia mesti berusaha sebab kata orang hidup mesti berikhtiar. Si buta mestilah mendapatkan tongkat yang baru, sebagai ganti kepada tongkat yang telah patah. 

Demikian berkat kesungguhan Aminah berusaha, akhirnya dia mendapat biasiswa. Biasiswa inilah yang diibaratkannya  sebagai tongkat baru yang menggantikan peranan neneknya semasa masih hidup. Dalam hubungan ini, Aminah amat berterima kasih kepada gurunya.

Peribahasa yang bermaksud berlapis ini tepat sekali hendak mengkiaskan kehidupan manusia yang hilang tempat pergantungan di tengah-tengah perjalanan hidupnya yang amat memerlukan pertolongan. Aminah yang dikisahkan dalam cerita tadi terpaksa menghadapi masalah hidupnya sendiri. Aminah tidak berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja. Begitulah hendaknya kita sebagai pelajar. Kita harus menghindari perasaan berputus asa kerana hilang tempat bergantung itu.

  
Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

Sejak muda lagi Ah Beng mengusahakan kedai runcit di Kampung Bunga Raya. Kedainya menjadi tumpuan penduduk kampung kerana barang yang dijual agak murah dan sikap mesra Ah Beng melayan pelanggan. Ah Beng minat berniaga, tetapi disebabkan kesihatannya yang sering terganggu menyebabkan tumpuannya terhadap kedai agak berkurangan.

Isterinya mahu Ah Beng menerima rawatan yang baik di hospital pakar. Penyakit kencing manis tidak boleh dianggap mudah. Ah Beng berhadapan dengan masalah kerana sekiranya dia menerima rawatan yang memakan masa yang lama, tiada siapa yang akan menjaga kedainya.
"Apa gunanya ayah menyimpan duit kalau badan tidak sihat? Ayah boleh pergi ke hospital dan saya akan menjaga kedai," kata anak lelaki sulungnya, Ah Lik yang barusia 26 tahun. Dia sudah mengetahui masalah yang dihadapi oleh ayahnya.

Ah Beng berbelah bahagi terhadap tawaran anaknya itu apabila mengenangkan sikap anaknya yang tidak suka membantunya menjaga kedai selama ini. Tetapi, sekiranya dia tidak memberikan tanggungjawab itu sekarang, mungkin tiada lagi hari yang lebih sesuai. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyerahkan penjagaan kedai tersebut kepada Ah Lik

Selama dua minggu, Ah Beng menerima rawatan di Hospital Mawar di Shah Alam dengan ditemani oleh isterinya. Kesempatan itulah digunakan oleh Ah Lik untuk mengambil wang hasil jualan barang-barang. Malah dia telah membuka dan menutup keda sesuka hatinya sahaja.

Apabila Ah Beng keluar dari hospital, alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan kedainya yang tidak seperti dahulu lagi. Itulah yang dikatakan, harapkan pagar, pagar makan padi. Penyakit yang dihidapi hampir pulih, tetapi kedainya pulan menjadi tenat.

5 comments: