Selamat datang ke blog Peribahasa Kita, semoga anda mendapat sesuatu di sini. Terima kasih.

Perkembangan

Perkembangan Peribahasa

Peribahasa mengalami evolusi dari masa ke semasa. Ciptaan yang memakan masa beratus-ratus tahun, mengalami dugaan masa dan perubahan. Melalui proses evolusi ini, peribahasa akhirnya diterima pakai hingga ke zaman ini kerana keindahan bahasanya yang tepat dan berkesan dari segi pengertiannya. Selain itu, peribahasa mudah diingat, serta menjadi pegangan dan buah pertuturan yang diselitkan sama ada di dalam pertuturan formal mahupun tidak. Melalui proses ini, peribahasa diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga ke abad ini.


Seperti zaman dahulu, peribahasa masih lagi digunakan dengan tujuan mengajar, mendidik, menyindir serta menegur seseorang ataupun masyarakat. Pada zaman ini pula, terdapat beberapa orang ahli bahasa yang giat mengkaji semula peribahasa-peribahasa lama kerana nilai-nilai tersebut. Justeru, nilai estetika yang amat tinggi menyebabkan penggunaan peribahasa masih dapat dipertahankan hingga ke kini.


Antara sebab-sebab peribahasa dapat bertahan sehingga kini ialah terdapat unsur-unsur kesusasteraan seperti intelek, imaginasi dan emosi yang terkandung di dalam sesebuah peribahasa. Jika ditinjau dengan lebih mendalam, terdapat banyak aspek yang mempamerkan ketinggian pemikiran masyarakat Melayu. Terdapat banyak peribahasa Melayu yang menyentuh aspek ekonomi (seperti konsep rezeki), sosial (seperti nilai budaya, konsep sains dan teknologi)dan juga aspek politik (seperti konsep undang-undang, peraturan dan pentadbiran).


Sebelum masyarakat dahulu mempunyai undang-undang ‘pidata dan pidana’ seperti sekarang, corak kehidupan mereka diaturkan dengan pelbagai jenis peribahasa. Jikalau dikaji semula pada zaman ini, ada juga peribahasa yang tidak lagi sesuai dengan zaman dan kemajuan ilmu pengetahuan sekarang. Namun demikian, ada peribahasa yang dianggap tidak relevan pada masa kini tetapi mempunyai makna yang amat mendalam. Seperti contoh peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat”. Ada yang berpendapat bahawa peribahasa ini tidak lagi relevan pada masa kini kerana mengapa seorang anak yang merupakan cahaya mata harus dibiarkan mati dan adat harus diteruskan. Jika kita melihat peribahasa ini daripada perspektif yang berbeza, kita boleh dapati bahawa‘adat’ di sini digunakan sebagai undang-undang dan sekiranya seseorang anak itu telah melanggar undang-undang, seorang ketua tidak seharusnya membebaskan anak tersebut daripada kesalahan yang telah dilakukannya. ‘Mati’ pula tidak bermaksud anak itu harus dihukum mati sekiranya ia bersalah tetapi ia membawa maksud menerima padah atau pun akibat atas apa yang telah dilakukannya.


Peribahasa juga memainkan peranan dalam perkembangan budaya masyarakat pada zaman-zaman yang berbeza. Peribahasa hidup dan berkembang daripada satu generasi ke satu generasi dengan bentuknya yang tersendiri iaitu secara lisan yang kemudiannya terjelma pula dalam bentuk tulisan. Dalam proses evolusi dan difusi kebudayaan, tradisi lisan berubah secara perlahan, menghasilkan suatu bentuk perubahan dari bentuknya yang asal dan dalam mengalami proses itu juga peribahasa telah terdedah kepada perubahan tanpa sebarang sekatan dan kawalan. Ini dimungkinkan oleh sikap masyarakat itu sendiri yang sentiasa cenderung untuk melakukan perubahan kepada budaya tradisinya dengan harapan dapat menarik perhatian dan menghiburkan masyarakatnya.




Kesimpulan

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peribahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu hingga ke saat ini. Peribahasa merupakan salah satu cabang bahasa terpenting dalam pembelajaran bahasa Melayu. Budaya Melayu yang penuh dengan kesantunan dan kehalusan budi pekerti juga turut terserlah melalui penciptaan peribahasa. Justeru, peribahasa menjadi khazanah budaya dan bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tinggi. Penggunaannya yang meluas secara tulisan atau pun pertuturan masih kekal relevan dalam konteks masyarakat Melayu hingga kini. Peribahasa mengandungi pelbagai nasihat, ilmu serta unsur-unsur didaktik untuk masyarakat umum. Justeru, setiap individu Melayu harus memainkan peranan aktif untuk memastikan penggunaan serta keaslian peribahasa tetap dipelihara. Segala nilai murni dalam setiap peribahasa yang dicipta itu dapat dihayati dan direnungi demi kesejahteraan kita bersama. Bak kata pepatah, bahasa dijunjung, budaya disanjung. Peribahasa adalah cerminan akal budi dan lambang jati diri orang Melayu.



-Afizah, Fatin, Nisfawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah-
(Aktivis Jurnal Akademik Jilid III 2003)
 

1 comment: