Selamat datang ke blog Peribahasa Kita, semoga anda mendapat sesuatu di sini. Terima kasih.

Fungsi

Fungsi Peribahasa


Setiap bangsa mempunyai peribahasa yang mencerminkan watak sesuatu bangsa itu. Begitu juga dengan peribahasa Melayu yang merupakan salah satu cabang sastera lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Peribahasa terbit dengan tujuan didaktik untuk masyarakat pada ketika itu. Peribahasa lebih kerap digunakan ketika itu kerana kekata yang terkandung di dalamnya membawa maksud yang tepat malahan kias ibaratnya agak tajam serta susunan kata yang begitu teratur, ringkas dan padat. Menurut Za’ ba (1962,165), peribahasa berfungsi untuk perkara berikut:
•Menghiasi karangan dan percakapan.
•Menguatkan tujuan karangan atau percakapan.
•Boleh dijadikan pedoman hidup kerana isinya yang
  besar dan luas.
Peribahasa menggambarkan tasawwur atau ‘world view’ masyarakat ataupun bangsa yang mendukungnya, sekaligus menyatakan pengalaman hidup yang telah dilalui serta corak kehidupan sesuatu bangsa itu secara keseluruhan. Oleh yang demikian, isi dan tema peribahasa yang dibicarakan disifatkan sebagai cerminan pandangan dunia serta etos iaitu nilai masyarakat Melayu, khususnya dalam konteks pemakaian peribahasanya. Etos ini dapat dijelaskan dengan lebih lanjut lagi apabila makna sesuatu peribahasa itu diaplikasikan dan dipraktikkan ke dalam kehidupan seharian sesuatu masyarakat itu seperti dalam contoh-contoh berikut:

a)Berbudi dan berjasa
Kehidupan masyarakat Melayu tradisional memang kaya dengan budi bicara dan adat tradisi. Sesuatu budi yang telah diberikan secara jujur seperti melepaskan kesukaran orang lain, bantuan dan kasih sayang dalam hidup berkeluarga dan berjiran akan senantiasa dikenang dari hidup hingga ke akhir hayat. Lantaran, timbul peribahasa:

i.              Hancur badan dikandung tanah
                Budi yang baik dikenang juga.

ii.             Hutang emas boleh dibayar
                Hutang budi dibawa mati
iii.            Muka berpandangan
                Budi kedapatanKasih bak lama juga

Budi berkait erat dengan jasa. Budi dan jasa lengkap melengkapi antara satu sama lain. Budi adalah jasa dan jasa adalah budi. Tidak mungkin seseorang dapat dianggap membuat jasa jika dia tidak berbudi. Setiap anggota masyarakat ingin membuat jasa yang termampu olehnya kerana jasa serta namanya akan sentiasa dikenang walaupun setelah dia meninggal dunia.

i.              Hidup kayu berubah
                Hidup manusia biar berjasa.

ii.             Kayu mati berpunggur
                Manusia mati biar bernama.

iii.            Harimau mati tinggal belangnya
                Gajah mati tinggal tulangnya
                Manusia mati tinggalkan nama.

 b)Merendah diri
Merendah diri dan bertimbang rasa juga tergolong sebagai budi. Orang yang memiliki ketinggian budi bahasa, maka kata-katanya itu tidak akan meninggi serta tidak mungkir janji.

i.              Bawa resmi padi;
                Makin berisi makin merunduk
                Jangan bawa resmi lalang
                Makin berisi makin jegang.

ii.             Berfikir sebelum berkata
                Berunding sebelum dibuat.

c)Menuntut pelajaran
Masyarakat Melayu sememangnya menyedari peri pentingnya ilmu pengetahuan. Masyarakat Melayu lama berpendapat bahawa menuntut ilmu atau belajar tidak semestinya secara formal. Perkara ini masih boleh diraih melalui pengalaman, penelitian, sendirian ataupun melalui khabar-khabar yang disebarluaskan. Orang yang berpelajaran akan mendapat kejayaan dan kedudukan yang tinggi dalam hidup sementara mereka yang tidak pula, akan dipandang hina dan dianggap sebagai sampah masyarakat. Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh peribahasa yang tercipta.

i.              Kurang wang ringgit boleh dicari
                Kurang akal fikiran habis bicara.

ii.             Arang habis besi binasa
                Tukang bekerja penat sahaja.

iii.            Berguru kepalang ajar
                Bagai bunga kembang tak jadi

d)Bekerja kuat dan berjimat-cermat
Kepekaan masyarakat terhadap ekonomi, penghasilan dan pendapatan daripada usaha yang bersungguh-sungguh dan berjimat-cermat jelas tergambar dalam pelbagai peribahasa yang menekankan kepentingan berjimat-cermat. Sikap yang baik ini dipuji sementara sikap yang bertentangan dikecam, seperti dalam contoh berikut:

i.              Sehari selembar benang
                Lama-lama menjadi kain.

ii.             Ditangkap buaya nampak riaknya
                Ditangkap malas tak bertanda.

iii.            Berhemat sebelum habis
                Sediakan payung sebelum hujan.

iv.           Besar pasak dari tiang
               Besar sendal dari gelegar.

v.            Sekali merengkuh dayung
               Dua tiga pulau terlangsung
               Sekali mengorak pura
               Dua tiga hutang langsai

e)Taat setia dan menghormati undang-undang
Sikap taat setia dan kasih yang tiada berbelah bahagi kepada negera dan raja yang memerintah jelas terakam dalam banyak peribahasa. Sesebuah kerajaan, perlembagaan, perundangan atau seorang pembesar, menyedari akan kewujudan satu ‘waad’ dengan yang diperintahnya. Kerajaan harus bersikap adil demi menjalin hubungan baik dengan yang diperintah. Sesebuah kerajaan juga harus mengetepikan kepentingan sendiri demi melaksanakan undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepadanya, seperti dalam contoh berikut:

i.              Raja adil raja disembah
                Raja zalim raja disanggah.

ii.             Biar mati anak
                Jangan mati adat.

iii.            Hidup dikandung adat
                Mati dikandung tanah.

iv.           Di mana bumi dipijak
               Di situ langit dijunjung.

v.            Bagai pucuk ru:
               Ke mana angin keras
               Ke sana ia berpihak.

vi.           Hujan emas di negeri orang
               Hujan keris lembing di negeri sendiri
               Baik juga di negeri sendiri.

vii.          Penohok kawan seiring
               Penggunting dalam lipatan.

Contoh-contoh dan penerangan di atas jelas menunjukkan sikap dan nilai masyarakat Melayu yang tinggi. Sikap dan nilai masyarakat terhadap sesuatu aspek hidup itu tidak semata-mata sebagai pengucapan tetapi juga dijadikan pegangan serta diamalkan dalam kehidupan sehari-hari, menjadikannya sebagai sesuatu yang sakral. Menurut Pak Haji Tenas Effendy, seorang budayan Riau, peribahasa berfungsi sebagai alat untuk menasihati dan memberi arahan yang bertepatan serta bersesuaian dengan peri hidup setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa. Peribahasa yang kaya dengan segala macam tuntutan dan nasihat merupakan cerminan kepada keaslian budi bicara masyarakat Melayu yang sejak azali lagi sesungguhnya terkenal dengan kekayaan budi pekerti dan nilai-nilai kemanusiaan. Peribahasa ini juga merupakan asas-asas kemelayuan yang menyintai kedamaian sekaligus mengajak semua untuk hidup rukun dan saling hormat-menghormati agar tidak membawa kepada kerosakan kepada diri sendiri mahupun orang lain dan alam sekitarnya.

Peribahasa juga digunakan untuk mengindahkan wacana. Penggunaan peribahasa yang sesuai akan menambahkan lagi keindahan sesebuah wacana dan akan memperlihatkan keberkesanannya terutama di dalam penghasilan genre-genre penulisan. Genre-genre penulisan yang mengandungi peribahasa dapat menjana minda dan pemikiran golongan pembaca agar menjadi lebih kritis dan kreatif. Memang pada umumnya semua peribahasa mengandungi tema didaktik iaitu dengan maksud mengajar dan mengingatkan anggota-anggota masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagaimanapun terdapat ungkapan-ungkapan tertentu yang khusus merujuk kepada sesuatu bidang tertentu, misalnya, dalam mengingatkan pelbagai kemungkinan yang akan datang, membuat pilihan dan bertindak, berhutang, meminjam dan memberi pinjam dan sebagainya. Contoh berikut menjelaskan:

i.              Ingat-ingat yang di atas
                Kelak di bawah akan menimpa.

ii.             Hutang kajang belum langsai
                Hutang samir sudah tiba pula

iii.            Ibarat kain tengah empat
                Elak ke atas bawah terbuka
                Elak ke bawah atas terbuka.

Sebahagian besar pengajaran dapat diraih melalui pengalaman hidup. Kehidupan telah mengajar manusia supaya berwaspada dan berfikir sebelum bertindak supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Pengajaran in terakam dalam peribahasa seperti di bawah:

i.              Sesal dahulu pendapatan            
                Sesal kemudian tiada berguna.

ii.             Lepas di tangan jangan diharap
                Orang pulang jangan dinanti
                Mulut manis jangan didengar.

Kesimpulannya, peribahasa merupakan cerminan peradaban sekaligus lambang jati diri masyarakat Melayu. Peribahasa dapat dijadikan pegangan atau panduan di dalam kehidupan seseorang kerana banyak peribahasa mengandungi pengajaran yang tidak bercanggah dengan anutan agama, yang sentiasa mengajar manusia untuk mencari dan menganjurkan kebenaran, kemuliaan dan menegakkan yang hak. Peribahasa juga pernah berfungsi sebagai ‘oral constitution’ atau undang-undang lisan kepada masyarakat Melayu tradisional. Oleh itu, peribahasa juga dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan masa depan sebagai pegangan dan panduan hidup.


-Afizah, Fatin, Nisfawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah-
(Aktivis Jurnal Akademik Jilid III 2003)

5 comments:

  1. Maklumat yang lengkap dan jelas.

    ReplyDelete
  2. terima kasih cikgu,berolehlah banyak ilmu setelah membaca teks ini

    ReplyDelete
  3. Peribahasa supaya samar- samar tidak mudah dimengerti secara cepat. Harus dipahami makna tak tersiratnya

    ReplyDelete
  4. adakah kepentingan pennggunaan peribahasa sama dengan fungsi peribahasa?

    ReplyDelete