Sejarah Peribahasa
Peribahasa bermula sebelum orang-orang Melayu
pandai menulis dan membaca. Peribahasa dikatakan berasal daripada orang
Minangkabau. Ada juga yang menyatakan peribahasa ini berasal daripada orang
Riau SSumatera. Sebelum orang-orang Melayu pandai menulis dan membaca, mereka
telah dididik melalui peribahasa. Peribahasa merupakan gubahan bahasa yang
tersusun dengan perkataan-perkataan yang indah serta mengandungi kata-kata
nasihat dan petua. Lantas, peribahasa ini disampaikan dengan gaya dan cara yang
menarik. Selain berfungsi untuk nasihat, peribahasa juga mencerminkan
keseluruhan kehidupan masyarakatMelayu.
Masyarakat dahulu kala tidak berpendidikan
formal. Mereka menetap di kawasan pendalaman dan tidak mempunyai tempat tinggal
yang tetap. Masyarakat pada ketika itu pula berfahaman animisme, yang
mempercayai bahawa segala benda yang wujud mempunyai roh atau semangat. Lantas,
untuk mententeramkan roh dan semangat ini, mereka menyembah roh dan semangat tersebut.
Perhubungan rapat dengan keadaan sekeliling
menimbulkan ilham dan kaca perbandingan bagi mereka, terutama ahli-ahli fikir
waktu itu. Alam semula jadi memberikan mereka ilham untuk dijadikan iktibar di
dalam mengharungi kehidupan seharian. Cara sedemikian merupakan jalan
mudah bagi mereka untuk memberi nasihat, teguran, anjuran atau sindiran agar
mudah didengar dan diteliti pihak yang mempelajari peribahasa tersebut. Isi dan
jiwa yang terkandung di dalam peribahasa menyentuh aspek sejarah, sosial dan
kehidupan mereka pada zaman lampau.
Menurut Mohd Gani Ahmad, ribuan peribahasa yang
terdapat dalam masyarakat kita dicipta oleh ahli fikir, cendekiawan, para
pemuka bangsa atau pujangga sesebuah masyarakat. Kemungkinan peribahasa itu
dicipta oleh anggota masyarakat biasa amat tipis. Jika ada, ini mungkin secara
kebetulan sahaja. Namun demikian, individu yang mencipta peribahasa itu mestilah
seorang yang dihormati kerana kedudukannya dalam masyarakat atau kerana
usianya. Orang-orang tua zaman dahulu sahaja telah lama merasai asam garam
kehidupan, mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan dan seharusnya boleh
dipercayai. Kewibawaan mereka dari segi penuturan telah menghasilkan banyak
kata-kata mutiara.
Pada mulanya, percakapan hanya pertuturan biasa
yang kurang indah dan tepat. Ia kemudiannya diubahsuai, ditokok tambah dan
diperbaiki dari masa ke semasa. Akhirnya, tercipta peribahasa yang kita kenali
sekarang sebagai yang terbaik, terindah dan berkesan.
Melalui perkembangan sejarah sejak zaman
Srivijaya lagi, bahasa Melayu mula berkembang daripada sebuah bahasa yang rendah
nilainya kepada bahasa yang dapat memperkatakan soal-soal yang berhubung dengan
falsafah. Bahkan, peribahasa merupakan antara salah satu aspek bahasa yang
turut berkembang. Walau bagaimanapun, bahasa Minangkabau berbeza daripada bahasa
Melayu. Namun demikian, proses evolusi yang memakan beberapa ratus tahun telah sedikit
sebanyak menyesuaikan peribahasa Minangkabau dengan bahasa Melayu. Antara
contoh yang dipetik daripada ‘1000 Pepatah-Pepitih, Mamang-Bidal
Pantun-Gurindam’ oleh H. Idrus Hakimy Dt. Rajo Penghulu ialah:
Barakik-rakik ka hulu, baranang-ranang ka
tapian, basugi timbakau jaho.
Basakik-sakik dahulu, basanang-sanang kamudian,
marugi mangko balabo.
Peribahasa dalam bahasa Minangkabau jika kita
perhatikan sama dengan peribahasa Melayu iaitu:
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian,
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang
kemudian.
Terdapat banyak lagi contoh peribahasa
Minangkabau yang hampir serupa dengan peribahasa Melayu, yang berbeza dari segi
sebutan serta ejaannya sahaja.
-Afizah, Fatin, Nisfawati,
Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah-
(Aktivis Jurnal Akademik Jilid
III 2003)
No comments:
Post a Comment